Gunung Fakir Terbang, 1 Gunung 2 Negara - OhVacay.Com

Gunung Fakir Terbang, 1 Gunung 2 Negara

Alhamdulillah, masih diberi kesempatan untuk menikmati keindahan alam ciptaan-Nya. Kali ni saya kongsikan pengalaman 2H1M mendaki Gunung Fakir Terbang, Kedah. Pengalaman mendaki pertama bagi tahun 2017. 

Gunung Fakir Terbang
Gunung Fakir Terbang

Secara ringkasnya, Gunung Fakir Terbang merupakan Gunung yang terletak di Kedah dan bersempadan antara Malaysia-Thailand. Untuk mendaki anda perlu ke Tasik Pedu yang terletak berdekatan dengan Kuala Nerang. Lokasi ini merupakan tapak berkumpul pendaki sebelum memulakan dakian. Dengan Ketinggian 574 meter dari aras laut, pemandangan yang ditawarkan cukup mempesonakan.

Gunung Fakir Terbang
Penanda Sempadan Malaysia-Thailand

Untuk makluman anda, dakian ini saya lakukan dengan menggunakan pakej yang diurus oleh Khairi ( +6019-408 9970) yang diketuai oleh Paksu (+6011-5503 1956) dan dibantu oleh Pak Long dan Pak Andak. Semasa dakian ini, jumlah pendaki agak ramai iaitu 27 orang. 

Gunung Fakir Terbang
Trek laluan sebelum mendaki

Sebelum memulakan dakian, anda perlu berjalan ke kaki gunung dengan melalui jalan berturap, berbatu dan denai-denai kecil sekitar 2 km. Manakala, trek dakiannya pula agak mencabar kerana keadaannya yang curam dan berbatu. Jarang sekali anda akan melalui trek yang mendatar. Dalam hal ini, masa sekitar 6 jam diperlukan untuk sampai ke puncak.

Gunung Fakir Terbang
Trek ke puncak Gunung Fakir Terbang

Walaupun terpaksa melalui trek dakian yang sukar dan masa yang lama, rasanya usaha dakian kami berbaloi. Pemandangan di puncak Gunung Fakir Terbang cukup cantik. Dengan gabungan latar belakang bukit, tasik dan awam membiru, pemandangan yang ditawarkan cukup menenangkan dan mempesonakan. Selain itu, sepanjang trek dakian anda boleh melihat keindahan flora dan fauna seperti orkid liar yang mungkin tidak dilihat di tempat lain.

Gunung Fakir Terbang
Gunung Fakir Terbang

Memandangkan kedudukan Gunung Fakir Terbang tinggi di puncak gunung, maka hanya tumbuhan renek sahaja hidup disana. Jadi anda boleh menikmati keindahan pemandangan secara bebas tanpa terlindungan oleh pokok. Manakala, pada malam harinya suhu boleh dikatakan agak sejuk. Dalam hal ini, disarankan untuk anda membawa pakaian tebal dan 'sleeping beg' yang sesuai untuk keselesaan. 

Gunung Fakir Terbang
Gunung Fakir Terbang

Seperti dakian lain yang pernah saya sertai sebelum ini, aktiviti malam dimanfaatkan untuk berkenalan dan berkongsi cerita dengan pendaki lain. Namun, memandangkan kedudukan kami di antara sempadan Malaysia-Thailand, kami dinasihatkan agar tidak memancarkan sebarang cahaya ke arah Thailand bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku. Ini kerana, menurut ketua pendaki askar Thailand aktif melakukan rondaan di sempadan mereka.

Gunung Fakir Terbang
Gunung Fakir Terbang

Memandangkan tempoh dakian kami hanya 2H1M, keesokannya selepas melihat 'sunrise' dan bersarapan kami terus berkemas untuk turun. Menurut ketua pendaki (PakSu), masa sekitar 4 jam diperlukan oleh kami untuk sampai ke kaki gunung. Perbezaan masa antara naik dan turun terjadi memandangkan PakSu menggunakan jalan berbeza bagi kedua-dua laluan.

Untuk melihat gambar menarik, like dan follow facebook OhVacay.Com

Gunung Fakir Terbang, 1 Gunung 2 Negara Gunung Fakir Terbang, 1 Gunung 2 Negara Reviewed by Lah Mohd on 21:21:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.