Lepoh Waterfall, pengalaman trekking March 17 - OhVacay.Com

Lepoh Waterfall, pengalaman trekking March 17

Alhamdulillah, masih diberi kesempatan untuk menikmati keindahan alam ciptaan-Nya. Kali ni saya kongsikan pengalaman ke Air terjun Lepoh atau Lepoh Waterfall.

Air Terjun Lepoh
Air Terjun Lepoh
Secara ringkasnya air terjun Lepoh terletak di daerah Hulu Langat Selangor. Sekiranya anda dari Kuala Lumpur, anda perlu memandu sekitar satu jam dengan melalui kawasan perkampungan dan pekan kecil. Untuk memudahkan perjalanan ke sana anda boleh setkan waze anda ke lokasi "Asli Adventure Camp". Ini kerana, kawasan pintu masuk "Asli Adventure Camp" merupakan kawasan parkir kereta untuk ke air terjun Lepoh. Dalam hal ini, tiada tempat khusus untuk anda parkir kecuali di sepanjang jalan sekitar pintu masuk ke "Asli Adventure Camp".

Air Terjun Lepoh
Air Terjun Lepoh
Setibanya di kawasan parkir anda perlu membuat bayaran parkir sebanyak RM5 bagi sebuah kereta dan menulis nama dalam buku rekod pelawat yang disediakan. Untuk menulis nama, anda boleh ke kedai runcit paling hampir dengan pintu masuk "Asli Adventure Camp".

Mengikut pengalaman, anda akan dinasihatkan oleh penjaga parkir untuk memakai pakaian yang sesuai sebelum memulakan trekking. Ini kerana, masa sekitar 1-2 jam di perlukan oleh anda untuk sampai ke kawasan air terjun Lepoh. Untuk makluman anda, trek boleh dikatakan agak mendatar kecuali di beberapa tempat yang mana kecerunannya boleh mencapai sekitar 45 darjah.

Air Terjun Lepoh
Trek ke Air Terjun Lepoh
Sebagai petunjuk, sepanjang laluan ke air terjun Lepoh anda akan melalui dua jambatan, kebun buahan, pohon buloh, kebuh getah, hutan, paip lama dan pondok usang. Sekiranya anda telah sampai ke pondok usang jarak anda dengan kawasan air terjun adalah kurang 50 meter. Dari sini anda sudah mampu untuk mendengar aliran air terjun.

Trek ke Air Terjun Lepoh
Trek ke Air Terjun Lepoh
Sebagai tambahan, bagi memastikan anda berada di laluan yang betul anda boleh berpandukan kepada tanda yang dibuat. Bagi setiap persimpangan, lilitan plastik akan dibuat di batang pokok yang mana menandakan laluan tersebut perlu dilalui oleh anda. 

Air Terjun Lepoh
Trek ke Air Terjun Lepoh
Manakala, apabila anda turun ke air anda akan disambut manja oleh gigitan ikan kecil. Suasananya hampir sama seperti anda ke santuari kelah di Sabah. Meskipun begitu, saiz dan jumlah ikan tidaklah sebesar dan sebanyak ikan di santuari Sabah. Mengikut pengalaman, ikan ini akan lebih menghampiri anda sekiranya anda mempunyai makanan. 

Bagi mereka yang mempunyai anak kecil, adalah tidak digalakkan untuk anda membawa ke kawasan air terjun Lepoh. Namun begitu, anda boleh membawa mereka mandi dikawasan air terjun sekitar parkir. Ini kerana kawasan ini lebih selesa dan sesuai untuk anak kecil selain anda boleh menyewa chalet/resort sekitar untuk beristirehat.

Lepoh Waterfall, pengalaman trekking March 17 Lepoh Waterfall, pengalaman trekking March 17 Reviewed by Lah Mohd on 06:16:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.