Pengalaman ke Hooker Valley - OhVacay.Com

Pengalaman ke Hooker Valley

Alhamdulillah, masih diberi kesempatan untuk menikmati keindahan alam ciptaan-Nya. Kali ni saya kongsikan pengalaman menyusuri trek laluan pejalan kaki Hooker Valley, New Zealand.

Hooker Valley
Hooker Valley - Kawasan parkir, dan tandas

Sungguh cantik dan mendamaikan. Hilang rasanya segala penat berjalan sekitar 1 jam 30 minit menyusuri trek laluan pejalan kaki (1 jam 30 minit sehala). Walaupun treknya agak jauh dan panjang, pemandangan yang ditawarkan cukup cantik. Dari jauh kelihatan banjaran tinggi gunung di selaputi salji putih dan pepohon renek keemasan. Satu gabungan warna yang cukup menarik dan memukau pandangan mata.

Hooker Valley
Hooker Valley - Laluan pejalan kaki ke 'Hooker Lake'

Untuk ke Hooker Valley anda perlu memandu menuju ke "White Horse Hill Campsite". Setibanya di "White Horse Hill Campsite, anda boleh parkir kenderaan di kawasan parkir yang disediakan. Untuk parkir, tiada bayaran dikenakan. Bagi anda yang ingin menyusuri trek Hookey Valley, disarankan untuk anda melalukannya sebelum petang. Ini kerana anda memerlukan masa yang panjang untuk menghabiskan keseluruhan trek.

Hooker Valley
Hooker Valley - Jambatan gantung ke 'Hooker Lake'

Untuk sampai ke hentian terakhir Hooker Valley, anda perlu melalui 3 jambatan gantung, laluan berbatu dan laluan papan. Setiap jambatan gantung mempunyai had tampungan tertentu. Meskipun trek ini berada dikawasan berbukit, namun trek laluannya boleh dikatakan mendatar dan senang untuk dilalui.

Disepanjang trek anda boleh melihat pemandangan yang cantik hasil gabungan batuan, salji, tumbuhan renek dan gunung. Tidak keterlaluan jika saya katakan setiap langkah merupakan kedudukan menarik untuk bergambar. 

Hooker Valley
Hooker Valley 

Manakala, semasa dihentian terakhir anda boleh melihat pemandangan tasik Hooker yang dipenuhi dengan "Icebergs". Suhunya pula boleh dikatakan agak sejuk dan memerlukan anda untuk membawa pakaian tebal (bergantung kepada musim kunjungan). Saya percaya anda tidak akan menyesal sekiranya memilih untuk menyurusi trek Hooker Valley. 

Hooker Lake
Hooker Lake

Sekiranya anda yang ingin menyusuri trek Hooker Valley, pastikan anda membawa kelengkapan secukupnya terutamanya minuman dan makanan ringan. Ini kerana, walaupun trek laluannya mendatar, saya pasti anda akan kehausan. Selain itu, pastikan pakaian yang dipakai selesa dan sesuai mengikut musim kunjungan. Mengikut bacaan saya, keadaan cuaca di Hooker Valley boleh berubah pada bila-bila masa. Jadi disarankan juga untuk anda membawa baju hujan sebagai persediaan. 

Bagi mereka yang ingin bermalam, anda boleh menyewa tapak di "White Horse Hill Campsite" (sesuai sekiranya anda menyewa campervan atau motorhome) atau hotel berdekatan. 

Pengalaman ke Hooker Valley Pengalaman ke Hooker Valley Reviewed by Lah Mohd on 06:27:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.