Tips/ persiapan sebelum bercuti ke Jepun - OhVacay.Com

Tips/ persiapan sebelum bercuti ke Jepun

Jepun???

Perbezaan bahasa dan tulisan mungkin menjadi perkara pertama yang difikirkan apabila anda ingin bercuti ke Jepun. Namun, tahukah anda sebenarnya Jepun juga menggunakan perkataan Inggeris untuk menunjukkan arah (contoh: di dalam train dan hotel). Meskipun penggunaanya terhad namun ianya sangatlah membantu. 

Sekiranya anda ingin bercuti bersendirian ke Jepun, teruskan niat anda. Saya percaya anda mampu untuk mencipta pengalaman percutian yang menarik. 

Untuk memudahkan anda merancang percutian ke Jepun, di sini saya kongsikan secara ringkas pengalaman saya semasa bercuti di Jepun pada musim luruh 2017. 

Showa Kinen Park
Showa Kinen Park

Tips/ persiapan sebelum bercuti ke Jepun

1- Tiket penerbangan

Pilihan masa yang sesuai perlu dipertimbangkan sebelum anda membeli tiket. Elakkan daripada membeli tiket penerbangan yang tiba di malam hari terutamanya jika ini pertama kali anda jejakkan kaki ke Jepun. Ini bagi mengelakkan anda daripada menjadi panik atau terlepas train akhir sekiranya flight di tunda. Selain itu ia dapat mengurangkan risiko pembaziran tempahan bilik, sekiranya anda telah membuat tempahan penginapan.


2- Pengangkutan awam

Beratur sebelum menaiki bas dan train. Hormati budaya mereka. Jangan tunjukkan budaya buruk anda di negara orang. Memandangkan pengangkutan awam di Jepun cekap dan efisien, disarankan untuk anda menyusun jadual perjalanan. Untuk mengetahui masa perjalanan train dan bas, anda boleh gunakan Apps HyperDia. Bagi memudahkan anda, berikut saya ringkaskan penglaman mengikut jenis pengangkutan.

i - Kereta api (train)

Bagi anda yang merancang untuk menggunakan kereta api (train) dengan kerap, disarankan untuk anda membeli JR-Pass. Pass ini hanya boleh dibeli sebelum anda jejakkan kaki ke Jepun. Selepas anda tiba di Jepun, pass ini tidak lagi boleh dibeli.

Sebagai makluman, sebelum membeli JR-Pass pastikan anda membaca kawasan liputan/penggunaan pass. Ini kerana, setiap JR-Pass hanya boleh di gunakan dikawasan yang tercatit di dalam pass sahaja. Sekiranya anda ingin mengunakan train di luar kawasan penggunaan pass, anda perlu membeli tiket lain di kaunter/mesin layan diri.

Sebelum menaiki train pastikan train yang dinaiki adalah betul. Ini kerana landasan yang sama mungkin akan berkongsi beberapa train untuk laluan yang berbeza (rujuk gambar di bawah).

Petunjuk nombor train
Semasa menaiki train, sekiranya anda duduk di kerusi bahagian tengah, bersedia untuk turun sebelum tiba ke destinasi (terutamanya sekiranya anda mempunyai banyak beg/ barang).

ii- Bas 

Manakala, bagi anda yang merancang untuk menggunakan bas, disarankan untuk anda tiba awal di terminal. Mengikut pengalaman menggunakan bas di waktu puncak, bilangan penumpangnya adalah ramai terutamanya di terminal pertama. Untuk menaiki bas, anda boleh menggunakan siling atau menggunakan tiket yang boleh dibeli di mesin layan diri di sekitar terminal.

Tiket Bas di Jepun
Mesin layan diri tiket bas


3- Penginapan

Setiap orang mempunyai keinginan yang berbeza. Dalam hal ini anda boleh memilih sama ada untuk menempah hotel bertaraf bintang atau sekadar menempah hotel biasa. Namun, meskipun anda memilih hotel biasa pastikan anda memilih hotel yang berdekatan dengan kemudahan awam seperti terminal bas, train, kedai etc. Ini bagi melancarkan perjalanan percutian anda.

Selain itu, disarankan untuk anda memilih 'executive hotel' dan elakkan daripada memilih 'Love Hotel'. Untuk mengetahui perbezaannya, anda boleh mencari maklumat di enjin carian Google.

Bilik Executive Hotel


4- Pakaian

Memandagkan Jepun diketogerikan sebagai negara 4 musim, pakaian yang sesuai harus dititikberatkan. Sediakan pakaian yang sesuai mengikut musim kunjungan. Sekiranya berkunjung semasa musim sejuk/ menghampiri musim sejuk, sediakan sekurang-kurang sehelai pakaian tebal untuk keselesaan memandangkan cuaca disana adakalanya tidak menentu.


5- Saiz beg

Sekiranya anda ingin menggunakan pengangkutan awam, elakkan daripada membawa beg bersaiz besar. Ini kerana, beg bersaiz besar akan menyukarkan pergerakkan anda. Selain itu, tidak banyak loker bersaiz besar disediakan di stesen train untuk anda menyimpan beg/luggage. Dalam hal ini, saiz beg/luggage yang ideal untuk dibawa adalah bersaiz 24' dan kebawah.

Secara purata, harga loker untuk menyimpan barang adalah sekitar ¥300 - ¥600 bergantung kepada saiz loker dan lokasi stesen train.

Loker menyimpan barang


6- Bahasa

Belajar beberapa perkataan asas bahasa Jepun. Ini akan membantu anda untuk membalas ucapan mereka  seperti semasa makan di restoran dan membeli barang, contoh:
i - Arigato Ghozaimasu = Terima kasih
ii- Ohayou Ghozaimasu = Selamat pagi
iii- Konnichiwa = Selamat petang


7- Travel insurans

Pastikan anda memiliki/ membeli "travel insurans". Laburkan sedikit wang untuk jaminan keselesaan. Jangan risikokan diri dengan perkara diluar jangka. Ini kerana, sekiranya berlaku sebarang kemalangan diluar jangka, kos yang perlu ditanggung berganda besarnya. Untuk makluman, 'travel insuran' boleh dibeli selewat-lewatnya sehari sebelum anda berlepas ke destinasi percutian (contoh AXA travel insurans).


8- Duit poket

Terlalu sukar untuk saya tentukan jumlah yang harus dibawa. Semuanya bergantung kepada citarasa dan gaya percutian anda. Sekiranya anda merancang untuk shopping, sememangnya anda harus membawa wang dalam jumlah yang besar.

Namun sekiranya niat percutian anda hanya untuk melihat keindahan Jepun jumlah wang yang perlu dibawa tidaklah besar. Cukup untuk perbelanjaan makan dan kecemasan. Secara purata, harga sekali makan di restoran Jepun sekitar ¥600 - ¥1000 bergantung kepada lokasi.

Note:
Duit poket yang dimaksudkan tidak termasuk perbelanjaan penginapan, tiket masuk tempat menarik dan pengangkutan. Ini kerana, kebiasaannya ketiga-tiga perkara ini telah ditempah/ diasing awal perbelanjaannya sebelum anda jejakkan kaki ke Jepun.


9- Makanan

Bagi pelancong muslim, makanan halal ada kalanya sukar untuk ditemui. Masalah ini amat ketara  sekiranya anda berkunjung ke kawasan luar bandar. Sebagai altenatif, anda boleh mengambil makanan berasaskan buah, sayuran dan makanan laut. Selain itu, disarankan untuk anda membawa makanan segera dari Malaysia untuk digunakan sewaktu memerlukan.

Semasa makan di restoran/rumah di Jepun, cuba habiskan makanan yang dihidang. Menurut maklumat yang saya perolehi, mereka suka sekiranya pelanggan/tetamu menghabiskan makanan yang dihidangkan.

Menu Jepun
Menu Makanan


10- Sampah

Setanding dengan kemajuan teknologi Jepun, sampah turut diuruskan dengan cekap. Pastikan anda membuang sampah mengikut kategori yang ditetapkan (Contoh: plastik, kaca, kertas). Untuk makluman, ada kalanya bilik hotel turut menyediakan tong yang berbeza untuk jenis sampah yang berbeza.


11- Adab berjalan

Sekiranya anda berjalan secara berkumpulan/perlahan, pastikan anda tidak menghalang laluan pejalan kaki lain untuk memotong. Sesekali, tolehlah kebelakang atau pasanglah telinga untuk pastikan anda tidak menghalang laluan orang lain terutamaya di bandar yang sibuk. 

Matsumoto
Matsumoto


12- Tandas

Setanding dengan kemajuan teknologinya, tandas turut dilengkapi fungsi elektronik. Jangan terkejut sekiranya, mangkuk tandas secara perlahan-lahan menjadi panas semasa anda duduk diatasnya. Ini kerana, ia sememangnya dicipta untuk membekalkan haba apabila menerima rangsangan/sentuhan kulit manusia.

Dalam hal ini, gunakan tandas secara berhemah. Sekiranya lantai basah disebabkan anda, cuba keringkan dengan menggunakan tisu yang disediakan. Untuk makluman, ada sesetengah tandas tidak mempunyai pancutan air, jadi disarankan untuk anda menyediakan botol kosong untuk tujuan kecemasan.

Tandas di Jepun


13- Internet

Penggunaan internet di Jepun sangatlah membantu. Ini terutamanya semasa anda sesat atau mencari arah ke tempat yang menarik. Untuk melanggan internet anda mempunyai beberapa pilihan, antaranya menyewa internet di kios/kedai sekitar airport atau membeli simkad Jepun di Malaysia.


14- Lokasi menarik

Setiap orang mempunayi minat yang berbeza. Ada yang meminati lifestyle dan ada yang meminati alam semulajadi. Sekiranya anda ingin melihat keindahan alam semulajadi, disarankan untuk anda memilih lokasi yang jauh daripada bandar besar. Manakala, sekiranya anda meminati lifestyle, anda bolehlah ke bandar besar seperti Shibuya di Tokyo. 

Selamat bercuti..

Tips/ persiapan sebelum bercuti ke Jepun Tips/ persiapan sebelum bercuti ke Jepun Reviewed by Lah Mohd on 23:35:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.