Pengalaman ke Gunung Datuk - OhVacay.Com

Pengalaman ke Gunung Datuk

Terletak di daerah Kota Negeri Sembilan, Gunung Datuk sememangnya tidak asing lagi dalam kalangan peminat aktiviti hiking. Berada di ketinggian 870 meter dari paras laut, Gunung Datuk menawarkan pemandangan 360 darjah yang cukup mempesonakan. Tiupan angin di puncak yang sejuk dan nyaman mengubat rasa penat mendaki. 

Gunung Datuk
Gunung Datuk

Untuk ke sini, caranya cukup mudah. Tidak seperti gunung lain yang perlu memandu jauh ke kawasan pedalam, Gunung Datuk hanya berada sekitar 14 km daripada lebuhraya Utara-Selatan (dari plaza tol Simpang Ampat). Manakala, daripada jalan utama, anda hanya perlu memandu sekitar 5 minit ke kawasan parkir yang mana perlu melalui jalan kecil berturap yang dikeliling pepohon.

Bagi anda yang ingin mendaki di hari minggu, disarankan untuk anda tiba awal. Ini kerana kawasan parkir yang disediakan agak kecil dan sentiasa penuh. Selain itu, kawasan ini turut menyediakan kemudahan lain seperti dewan, tandas dan gerai makan. 

Manakala, untuk mendaki, anda wajib untuk memohon permit. Permit boleh dipohon di pondok pejabat hutan pada hari yang sama anda mendaki dengan harga RM5. Untuk makluman, pondok pejabat hutan berada di trek dakian sekitar 100 meter dari kawasan parkir. Untuk sampai ke pondok pejabat hutan anda perlu menyeberangi anak sungai dan melakukan sedikit dakian. Memandangkan treknya tidak mengelirukan, pemandu arah tidak diwajibkan.

Meskipun trek Gunung Datuk tidak panjang (iaitu sekitar 2000m  atau 2km), mengikut pemerhatian saya, permukaan treknya sentiasa berada dalam keadaan mendaki dan berbatu. Jarang sekali anda akan berada di trek yang landai. 

Dari segi masa dakian, mengikut pengalaman, saya memerlukan masa sekitar 1 jam 30 minit untuk sampai ke puncak. Manakala, untuk turun saya hanya memerlukan masa sekitar 50 minit untuk sampai ke parkir. 

Pengalaman ke Gunung Datuk Pengalaman ke Gunung Datuk Reviewed by Lah Mohd on 00:05:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.